Friday, 18 November 2011

Adat Resam Masyarakat Melayu

Adat Resam bermaksud peraturan yang sudah diamalkan sejak turun temurun dalam sesuatu masyarakat dan sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat itu. Masyarakat Melayu sememangnya amat terkenal dengan adat resam yang unik dan istimewa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Adat resam yang diamalkan dalam masyarakat Melayu dapat dilihat dalam perkahwinan masyarakat Melayu di mana setiap peringkat untuk menuju ke gerbang perkahwinan perlu dititik beratkan. Antaranya ialah:-

  • Merisik
Merisik bertujuan untuk pihak keluarga sebelah lelaki dapat memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan. Hal ini bertujuan untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap dalam mencari dan memilih isteri untuk anak lelaki mereka. Adat ini turut dikenali sebagai menilik. selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. rombongan ini akan disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. kedatangan ini adalah bertujuan untuk memastikan bahawa anak dara tersebut telah dimiliki atau belum. Selepas selesai merisik, rombongan akan pulang dan satu rundingan dilakukan dalam kalangan ahli keluarga pihak lelaki bagi mencari kata putus. Penetapan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan perlu dibincangkan.

Menurut kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Bermaksud ikatan perkahwinan yang dibina akan berada dalam keadaan senang lenang dan bermuafakat. Sebaliknya berlaku sekiranya waktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana kononnya, membawa petanda panas. Namun begitu, bagi masyarakat kini, kepercayaan demikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan.


                                                         


  • Meminang dan bertunang


Wakil daripada pihak lelaki ( kalangan orang tua-tua sebagai wakil ibu bapa lelaki) diutuskan untuk meminang anak dara yang telah dipilih. biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberikan keputusan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh biasanya dua hari untuk memberi jawapan. Keadaan ini disebut 'adat bertangguh' bagi mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam tingkah laku.

Sekiranya pinangan diterima, mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. 


Konsep menghantar tanda atau 'putus cakap' bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Upacara bertunang akan dijalankan bagi menunjukkan bahawa anak dara tersebut sudah dimiliki. Lazimnya, tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut adalah sebentuk cincin mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Selain cincin, barangan lain turut diberikan seperti kuih-muih, sepatu, sirih junjung yang dihias dengan cantik. Hantaran tersebut turut dibalas oleh pihak perempuan bagi menunjukkan tanda setuju. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas dengan lebih dua dulang oleh pihak perempuan. 



  • Menghantar belanja dan Akad nikah
  Menghantar belanja akan dijalankan dengan majlis akad nikah bertujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Antara barangan yang wajib ada bagi melengkapkan sesuatu barangan hantaran adalah seperti berikut:-

- Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah). Wang tersebut diletakkan di atas dulang atau batil bertudung yang diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
- Sebentuk cincin permata berbatu intan atau berlian yang diletakkan di dalam kotak perak.
- 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
- Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletakkan di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan berhias beralaskan talam.
- Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung
-Tepak sirih yang diisi lengkap.
-Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atau lilin


Selesai adat penerimaan kesemua wang dan barang-barang hantaran, tepak sirih, talam bunga rampai dan perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad. Seterusnya berlangsung akad nikah iaitu Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftra nama mempelai, menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan membaa khutbah nikah dalam bahasa Arab. Seterusnya, dua orang saksi dipilih untuk mendengar dan menjadi saksi pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan kadi. Selesai proses akad nikah, doa akan dibacakan oleh Tuan Kadi. Kenduri besar-besaran tidak diadakan lagi melainkan hanya terdapat kenduri yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga yang terdekat.

  •  Bersanding  
Persiapan majlis persandingan akan diadakan seperti persiapan pelamin yang merupakan tempat singgahsana untuk raja sehari dihias dengan indah. Pengantin perempuan dan pengantin lelaki akan mengenakan persalinan yang cantik. Majlis persandingan turut dimeriahkan dengan pasukan rebana, berkompang atau bermarhaban bagi menyambut kedatangan mempelai. Mereka akan disambut dengan taburan beras kunyit dan akan duduk menunggu di hadapan pelamin yang biasanya dibina dihadapan ruang tamu rumah. Seterusnya pertunjukan silat akan dijalankan dalam masa beberapa minit. Semasa bersanding, emak pengantin akan menjalankan adat bersuap-suapan di antara kedua-dua pengantin. Emak pengantin akan menjemput sedikit nasi kunyit dan diletakkan ke tangan pengantin perempuan. Dengan memegang nasi itu menggunakan dua jari, tangan pengantin perempuan akan diangkat oleh emak pengantin lalu disuapkan ke mulut mempelai itu. Seterusnya giliran pengantin lelaki. Bunga telur akan dibahagikan kepada tetamu yang hadir.













Peringkat ini tidak berakhir disini kerana menurut adat orang Melayu zaman dahulu setiap peringkat perlu penilitian. Bagi menjelaskan lagi peringkat-peringkat tersebut sila ke link ini :-


2 Responses to “Adat Resam Masyarakat Melayu”

Post a Comment

 

Blogroll